suria

Lelaki Didakwa Miliki Bahan Berkaitan Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret  atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Hasbullah Hassan, 37, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin. 

Hasbullah didakwa memiliki 10 video dan enam keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh yang disimpan di dalam telefon bimbit miliknya di pekarangan bangunan HSBC No. 2, Lebuh Ampang, di sini pukul 12.20 tengah hari, 29 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes. -Bernama

Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain