suria

Isu Berbasikal Lewat Malam Sudah Lama Dibangkitkan - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: Kegiatan berbasikal lewat malam melibatkan kanak-kanak dan remaja di sekitar bandar raya ini sudah dibangkitkan berulang kali sejak 10 tahun lepas namun gagal mencari penyelesaian menyeluruh, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata usaha yang diambil oleh pihak berkuasa termasuk polis bagi membendung kegiatan itu menerusi nasihat dan sebagainya tidak diendahkan oleh kanak-kanak dan remaja terbabit dengan ada yang melarikan diri apabila didekati.

"Justeru, saya minta ibu bapa dan penjaga agar meningkatkan pemantauan terhadap anak-anak. Kita tidak mahu tragedi yang berlaku hari ini berulang," katanya menerusi pegawai khas beliau Datuk Rashid Kasman kepada kumpulan media yang berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah, di sini pada Sabtu.

Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai mengulas tragedi lapan kanak-kanak dan remaja yang berbasikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian 3 pagi tadi di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini.

Kejadian turut menyebabkan dua remaja dalam keadaan kritikal dan enam lagi cedera.

"Memang perkara seumpama ini (kemalangan) dijangka berlaku dan sudahpun berlaku hari ini. Sebelum ini ada berlaku kemalangan membabitkan kanak-kanak atau remaja berbasikal, namun sekadar melibatkan seorang atau dua orang berbanding jumlah yang ramai sehingga lapan orang hari ini," katanya sepert dilaporkan Bernama.

Nur Jazlan turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa.

"Kepada pengguna jalan raya, berhati-hati agar kemalangan seperti ini dapat dielakkan," katanya.

Nur Jazlan Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Lain