suria

Mangsa Tak Pulang Selepas Bantu Jual Puding

Mohd Azhar Amir antara lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dilanggar sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah awal pagi Sabtu. fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Mangsa remaja berbasikal yang maut dalam kemalangan, Mohd Azhar Amir, merupakan seorang anak yang pendiam dan rajin membantu abangnya berniaga.

Menurut ibu mangsa, Shabariah Yusof, 49, anaknya seringkali keluar bersama rakan-rakannya setelah selesai menolong abangnya berniaga puding di Kampung Senibong pada pukul 11 malam.

"Lepas berniaga, baru dia keluar dengan kawan-kawannya berbasikal, pergi ke mana saya tak pasti...dia memang balik dalam pukul 3 pagi.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini lepas kawan-kawan dia yang berbasikal balik ke rumah dan memaklumkan bahawa anak saya terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini Sabtu.

Dalam kemalangan pukul 3 pagi itu, lapan remaja maut, dua kritikal dan enam lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

Mohd Azhar, 16, merupakan anak kelapan daripada 10 orang adik-beradik dan masih menunut di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 3.

Sementara itu, abang mangsa, Khainurizam, 33, berkata beliau telah seringkali menasihati adiknya agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal tersebut.

"Saya dah banyak kali larang dia tapi itulah budak-budak ini bila kawan-kawan dia dah ajak memang degil, kadang keluar rumah senyap-senyap jadi bila ada apa-apa berlaku kita tahu pun dari orang lain," katanya. - BERNAMA

kemalangan maut, remaja

Artikel Sebelum

Dua Cedera Diserang Gajah Liar

Artikel Berikut

Artikel Lain