suria

Haram Dego Ride:CEO Anggap Kerajaan Tergesa-Gesa

Nabil Feisal Bamadhaj.

PETALING JAYA: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj mempertikaikan keputusan Kementerian Pengangkutan yang dipersetujui Kabinet untuk mengharamkan perkhidmatan Dego Ride, dengan menyifatkan ia sebagai tindakan tergesa-tesa.

Nabil yang kesal dengan pengumuman itu juga berkata, ia adalah tindakan berat sebelah kerana beliau tidak diberi peluang untuk tampil memberi penjelasan dan mengadakan perbincangan bersama pihak kerajaan.

Katanya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa memberi masa selama tujuh hari kepada beliau untuk tampil berbincang dengan kementerian berhubung perkhidmatan itu.

“Semalam Menteri Pengangkutan dan JPJ baru saja minta saya tampil bertemu dengan mereka, tetapi hari ini dah setuju untuk haramkan Dego Ride. Belum pun sampai tujuh hari.

“Kenapa saya tidak diberi peluang untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi menjelaskan berdasarkan data, fakta dan kajian? Kenapa terus bersetuju, saya anggap ini keputusan yang tergesa-gesa,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada Rabu, Kabinet bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengangkutan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal 'Dego Ride' atas faktor keselamatan.

Tiong Lai berkata, setakat ini tiada wakil Dego Ride berjumpa dengan JPJ susulan saman yang dikeluarkan terhadap pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan itu. 

Nabil bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sendiri tampil ke Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya pada petang Selasa, hanya beberapa jam selepas diarahkan untuk berbuat demikian.

“Semalam juga saya sendiri dah datang ke Ibu Pejabat JPJ untuk mengaturkan pertemuan, tetapi setakat ini saya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya.

Malah kata Nabil, sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung perkhidmatan yang diperkenalkan syarikatnya itu.

Keputusan tergesa-gesa kerajaan itu, katanya hanya akan menjejaskan kehidupan isu rumah kira-kira 6,000 penunggang Dego Ride yang menjadikan perkhidmatan itu sebagai punca pendapatan.

“Walaupun keputusan adalah atas faktor keselamatan, setidak-tidaknya kerajaan beri peluang untuk mencari penyelesaian terbaik dan mengambil kira nasib rakyat yang hilang punca rezeki ini,” ujar Nabil.

Pada Selasa, JPJ dilaporkan mengeluarkan saman kepada tiga pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan Dego Ride kerana telah menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Sebelum ini, Tiong Lai berkata, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta SPAD dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas. 


Nabil Feisal Bamadhaj, Dego Ride

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain