suria

Exco Minta Polis Siasat Kes Dera Di Rumah Kebajikan

GAMBAR HIASAN

IPOH: Polis diminta segera menyiasat laporan berhubung kes penderaan di rumah kebajikan Caring Hands (Kakum Karangal) di Taman Lim di sini.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim berkata Persatuan Penyayang Ipoh, yang mengendalikan rumah kebajikan itu, membuat dua laporan polis pada 11 Jun dan 12 Ogos lepas.

"Dua laporan polis telah dibuat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa  12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan itu didera dari segi fizikal dan emosi selama bertahun-tahun namun, tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Laporan akhbar itu antara lain menyatakan mangsa mendakwa mereka disebat di tapak kaki, tangan dan punggung selain dimasukkan dalam sangkar anjing dan tidak diberi makanan jika melakukan kesalahan.

Bagi mengukuhkan lagi dakwaan itu, pemeriksaan kesihatan oleh pakar perunding kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengesahkan bahawa mangsa telah lama mengalami penderaan.

Rusnah berkata individu yang melakukan penderaan itu telah berhenti kerja beberapa bulan lepas dan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan kini berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Pihak JKM dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun telah melawat rumah kebajikan itu dan melihat keadaan penghuni," katanya.

Menurutnya rumah kebajikan itu beroperasi secara sah dan pihaknya memberi jaminan premis itu tidak akan ditutup sebaliknya terus beroperasi seperti biasa.

Rumah kebajikan itu, yang dibuka pada 2002, menjaga 15 orang kanak-kanak dan remaja berumur di antara 7 hingga 18 tahun.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan rumah kebajikan berkenaan mendapati ramai yang tidak mengetahui tentang adanya penderaan di premis tersebut.

Seorang pekerja pembersihan sebuah sekolah, yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kebajikan itu, berkata sepanjang 10 tahun bekerja beliau tidak pernah mendengar suara kanak-kanak menangis sebaliknya, hanya gelak ketawa. 

"Tak tahulah kalau waktu lain mereka didera seperti yang didakwa. Tapi sepanjang waktu saya bekerja, tak pernah dengar suara penghuni rumah itu menangis atau menjerit minta tolong.

"Ada penghuni yang bersekolah di tempat mak cik kerja dan mereka tidak pernah menunjukkan wajah sedih atau mengadu didera," kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Cik Mun.

Seorang pengawal keselamatan juga tidak mendengar atau melihat penghuni di rumah itu didera sepanjang tempoh beliau berkerja dari 7 pagi hingga 7 malam setiap hari.

"Tetapi saya tidak tahu apa yang terjadi di dalam rumah itu atau di luar waktu saya bekerja," katanya. - BERNAMA

Caring Hands, Rusnah Kassim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain