suria

Curi Kemeja: Pengutip Besi Buruk Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR: Seorang pengutip besi buruk dihukum penjara dua bulan dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri empat helai kemeja di sebuah pusat beli belah, dua hari lepas.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhi hukuman itu terhadap Ghaz Haswanddy Ghazali, 36, selepas dia mengaku bersalah mencuri kemeja berkenaan yang bernilai RM196 di Aeon Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail di sini pada 5 petang, 25 Disember lepas.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara empat hari  sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal kerana kekerapan kes curi tetapi tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu diberi hukuman ringan.

Di mahkamah sama, penganggur Hamdan Omar, 51, dipenjara sebulan kerana mencuri dompet berharga RM32.90 milik Mydin Mohamed Holding Berhad di Mydin Sinar Kota, Jalan Silang di sini pada 10.20 pagi, 16 Disember lepas.

Dia juga dipenjara 14 hari kerana gagal mengemukakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri sementara kepada anggota polis yang melakukan pemeriksaan terhadapnya pada tarikh, masa dan tempat sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Disember lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain