suria

Muhyiddin Perlu Bersih Nama Daripada Skandal - Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membersihkan nama dan imejnya berkaitan tuduhan skandal dengan isteri orang lain, jelas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bekas  Naib Ketua Umno Batu Kawan  itu berkata, Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) tidak dikecualikan untuk membersihkan namanya kerana Umno akan menggunakan isu tersebut.

Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa Anina Saadudin dipecat sebagai Ketua Pribumi Wanita kerana skandal seks.

"Akar umbi parti juga telah bertanya tentang dakwaan skandal presidennya ini ... Parti itu perlu dilihat bersih, adil dan saksama, tanpa terdapat seolah-olah ia mengamalkan pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khairuddin berkata dalam "kapasiti peribadi",  jika skandal Muhyiddin tidak diselesaikan, Umno akan mensensasikan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Selama ini Muhyiddin mengambil pendekatan berdiam diri mengenai isu-isu yang timbul di sekeliling beliau," kata Khairuddin yang meninggalkan parti itu Oktober lalu. 

Jelas Khairuddin, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) telah membuat laporan rasmi kepada Jabatan Agama Johor mengenai skandal Muhyiddin.

"Jika Pribumi mahu menjadi sangat baik, ia bukan sahaja perlu bersih, tetapi perlu dilihat bersih," katanya.

Beliau mendakwa majlis tertinggi perlu mengambil pendirian tegas ke arah membersihkan imej parti yang tercalar sejak kebelakangan ini.

Khairuddin juga berkata Pakatan Harapan perlu mengambil kira muka baharu seperti Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebagai "calon kemungkinan" untuk jawatan Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Azmin mempunyai imej baik secara keseluruhan, termasuk kepada mereka yang berada di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pelbagai lapisan masyarakat boleh menerima kepimpinan Azmin," katanya.

Khairuddin juga mendakwa Azmin mempunyai rekod prestasi pentadbiran Selangor yang berjaya dengan lebihan sebanyak RM4.1bil di negeri  tahun ini.

"Penamaan calon baharu daripada kalangan pemimpin muda yang dinamik seperti Azmin boleh memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk mengundi bagi memastikan kemenangan Pakatan dalam menawan Putrajaya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain