suria

Tujuh Rakyat Malaysia Ditahan Cuba Seludup Mercun Di Thailand

SONGKHLA: Tujuh rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thai bersama 107 kotak bunga api dan mercun di hutan simpan Khao Nam Kang, Sadao berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Ketua Pejabat Daerah Sadao Bunpark Raknui berkata kesemua lelaki berusia 19 hingga 64 tahun itu ditahan petang Selasa ketika cuba menyeludup kotak-kotak mercun dan bunga api itu ke Malaysia.

"Pihak berkuasa turut merampas lima buah kenderaan pacuan empat roda daripada mereka serta sebuah mesin pemotong kayu," katanya kepada pemberita di sini.

Kesemua mereka yang kini ditahan di Balai Polis Sadao berdepan empat pertuduhan termasuk membawa keluar barangan tanpa membayar cukai dan memiliki mercun tanpa kebenaran.

Dua lagi pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan yang sah serta menebang pokok tanpa memperoleh kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Menurut Bunpark, operasi semalam merupakan usaha berterusan pihak berkuasa Thai membanteras kegiatan penyeludupan barangan bercukai, senjata dan pemerdagangan manusia di kawasan sempadan. - BERNAMA

Artikel Lain