suria

Affendi Buang dilantik Panglima TUDM Baharu

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa oleh Panglima Tentera Udara ke-17 Jeneral Tan Sri Roslan Saad (kiri) kepada Panglima Tentera Udara ke-18 yang baharu, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang (kanan) pada Upacara Persaraan Panglima TUDM ke-17 di Pengkalan Udara TUDM Subang pada 21 Disember 2016. -BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Seri Affendi Buang pada Rabu dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-18.

Anak kelahiran Sarawak itu menggantikan Jeneral Tan Sri Roslan Saad yang bersara wajib pada hari yang sama.

Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM diadakan di Pangkalan TUDM Subang, di sini, disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Panglima TUDM selama dua tahun berkhidmat dalam TUDM selama lebih 30 tahun.

Affendi, 54, merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja Cawangan Putera pada 1978 sebelum ke Cawangan Kadet seterusnya ditauliahkan dalam TUDM pada 1981.

Beliau juga telah mengikuti beberapa kursus antaranya Pengajian Strategik dari Kolej Pertahanan dan Pengajian Strategik di Australia.

Sebelum ini, Affendi turut memegang beberapa jawatan penting dalam TUDM antaranya Komander Pangkalan Udara di Butterworth.

Terdahulu, Roslan diraikan dalam perbarisan persaraan yang terdiri daripada 22 pegawai dan 337 pegawai anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Left Kol Raja Abdul Latif Raja Ahmad daripada TUDM.

Istiadat perbarisan ini turut berlangsung dengan lintas hormat pesawat TUDM melibatkan Formasi Helikopter iaitu dua pesawat EC725 bersama Formasi Angkut iaitu sebuah pesawat A400M bersama dua pesawat angkut C130H dan Formasi Pejuang iaitu tiga pesawat pejuang FA-18D serta tiga pesawat pejuang MiG29N. - BERNAMA

Affendi Buang, TUDM

Artikel Lain