suria

Justo Dibebaskan Dari Penjara Thailand

BANGKOK: Bekas kakitangan Petrosaudi International, Andre Xavier Justo dibebaskan dari penjara Reman Bangkok pada Selasa, tempat dia menjalani hukuman penjara tiga tahun, menurut peguam belanya.

Worasit Piriyawiboon yang memberitahu Bernama berhubung jangkaan pembebasan anak guamnya warga Switzerland itu, berkata Justo telah dibawa ke pusat tahanan Jabatan Imigresen untuk urusan dokumen perjalanannya sebelum dia dibebaskan.

Justo tiba secara sendirian di perkarangan jabatan itu pada kira-kira 11.50 pagi (waktu tempatan) dengan menaiki sebuah van dengan dikawal beberapa anggota komando bersenjata.

Ketika didekati dan ditanya oleh kalangan wartawan yang menunggu, warganegara Switzerland itu yang jelas kelihatan lega, berkata dia berharap untuk berlepas pulang dengan penerbangan ke tanah airnya malam ini selepas menjalani hukuman penjara lebih setahun daripada jumlah hukuman penjara tiga tahun itu.

"Amat gembira, saya berharap untuk berada dalam pesawat malam ini dan tiba  di tanah air saya esok," kata bekas eksekutif IT Petrosaudi International itu yang memakai pakaian preman iaitu kemeja T putih dan seluar panjang biru gelap.

Ketika berita ini dikeluarkan, dia masih berada di Jabatan Imigresen untuk urusan prosedur dengan dia diiringi beberapa lelaki, kemungkinan besar daripada Kedutaan Switzerland di Bangkok.

Menurut Worasit, hukuman penjara tiga tahun Justo dipendekkan selepas dia diberikan dua Pengampunan Diraja, pertamanya oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada Ogos dan baru-baru ini oleh Raja Maha Chakri Bodindradevarangkun yang baru menaiki takhta.

Pengampunan Diraja yang diterimanya daripada mendiang Ring Bhumibol membolehkan Justo memendekkan satu pertiga daripada tempoh hukuman penjaranya,  manakala yang diperkenankan oleh Raja King Maha Chakri melayakkannya untuk dibebaskan lebih awal.

Warga Switzerland itu didapati bersalah oleh mahkamah Thailand pada Ogos tahun lalu selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya.

Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok yang membuat keputusan itu memerintahkan Justo menjalani hukuman penjara itu dari 22 Jun tahun lepas, tarikh dia ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di pulau Koh Samui, selatan Thailand. - BERNAMA

Xavier Justo, 1MDB, Petrosaudi

Artikel Sebelum

Haramkan 'Biskut Berasap' - CAP

Artikel Berikut

Artikel Lain