suria

Fasa Pertama MRT Dibuka Pada Jumaat

PETALING JAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh-Kajang yang akan dilancar pada Jumaat ini dijangka tidak banyak digunakan.

Bagaimanapun apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan memudahkan seramai 400,000 penumpang.

Pelancaran itu bakal menyaksikan 12 stesen MRT dibuka dan antaranya ialah Sg Buloh, Kampung Selamat,  Damansara, Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan pembukaan fasa satu tidak banyak digunakan oleh orang awam.

"Ini kerana, perkhidmatan komuter di Sungai Buloh merupakan satu-satunya penghubung dengan MRT.

"Aliran ini tidak bersambungan dengan perkhidmatan berasaskan rel yang lain dan ia tidak ke pusat bandar," katanya.

Jajaran sepanjang 23 kilometer itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat lawatan bersama beberapa penulis blog dan aktivis sosial pada Jumaat.

Najmuddin berkata dengan siapnya fasa Kedua - yang mempunyai 19 stesen lain sehingga ke Kajang - MRT bakal berkhidmat  kepada seramai kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor berkenaan.

"Kami menjangkakan kira-kira 400,000 penumpang setiap hari apabila ia beroperasi sepenuhnya," jelasnya.

Najmuddin berkata, selepas perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan membantu mereka yang tinggal di kawasan Sungai Buloh, Kota Damansara, Bandar Utama, Cheras dan Kajang untuk keluar bekerja di pusat bandar.

"Kapasiti setiap aliran ialah sebanyak 20,000 penumpang setiap jam. Setiap tren MRT, yang mempunyai empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang.

"Semasa waktu puncak, kekerapan tren adalah 3.5 minit setiap satu," kata Najmuddin.

Ketika ini, memandu dari Sungai Buloh ke Phileo Damansara di sini semasa waktu puncak boleh mengambil masa sehingga 90 minit.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata tambang maksimum sebanyak RM6.40  dikenakan berdasarkan struktur tambang tunai dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai.

120 bas pengantara juga akan ditempatkan di 26 laluan untuk memberi perkhidmatan kepada 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan yang membentuk fasa pertama laluan MRT.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain