suria

PAS Tak Mungkin Bentuk Kerjasama Dengan Umno

KULAI: Perpaduan yang ditunjukkan Umno dan PAS dalam isu kekejaman terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar tidak bermakna akan membawa kepada kerjasama politik antara kedua-dua parti politik.

Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsudin Jaafar berkata, kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke program solidariti Rohingya yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya simbol sokongan kedua-dua pihak terhadap isu berkenaan.

Najib hadir ke perhimpunan tersebut bersama Abdul Hadi untuk mempertahankan nasib etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar pada program yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Ahad lalu.

Shamsudin berkata, sejarah telah menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mungkin pernah berkongsi pentas sama untuk menyokong perjuangan yang benar, namun tiada sebarang kerjasama politik dibentuk selepas itu.

"Bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah berkumpul bersama-sama bagi menyokong Palestin.

"Penglibatan presiden kami pada perhimpunan itu tidak bermakna PAS akan bekerjasama dengan Umno, kerana gabungan dan kerjasama adalah dua perkara yang berbeza," katanya pada sidang akhbar di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain