suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kemaman: 320 Mangsa Banjir Dibenarkan Pulang

Mangsa banjir Maisarah Abd Wahab, 49, dan anaknya Mohd Rusdie Hafiz Rahim, 26, mengeluarkan perabot rumah yang dibasahi banjir untuk dijemur apabila cuaca mula panas di kawasan Perumahan PPRT Kampung Baru Kanan, Kemasik hari ini. Foto: Bernama

KEMAMAN: Banjir yang melanda di daerah ini sejak Selasa pulih sepenuhnya dan ketiga-tiga pusat pemindahan banjir ditutup secara rasminya pada pukul 6 petang Rabu.  

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Kemaman Rosman Roslan berkata ketiga-tiga pusat pemindahan tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Balai JKKK Kampung Titian Berayun dan Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong ditutup sepenuhnya setelah kesemua 320 mangsa banjir dibenarkan pulang ekoran cuaca cerah dan air banjir telah surut. 

"Kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang sejak awal pagi Rabu apabila rumah mereka sudah tidak ditenggelami air dan ada penduduk yang telah mengambil peluang untuk membersihkan rumah masing-masing ekoran cuaca panas dan tidak hujan sejak malam tadi. 

"Bilik Gerakan Bencana daerah juga telah ditutup secara rasminya pada pukul 6.15 petang ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, Rabu.

Bagaimanapun Rosman berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Pihak Jabatan Metereologi menjangkakan akan berlaku hujan lebat peringkat kuning mulai Khamis sehingga 3 Disember ini dan kita memang sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Banjir, Kemaman

Artikel Lain