Wanita Didakwa Empat Tuduhan Pemerdagangan Manusia - Semasa | mStar

Wanita Didakwa Empat Tuduhan Pemerdagangan Manusia

Gambar hiasan.

IPOH: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas empat pertuduhan memperdagangkan empat wanita warga Thailand bagi maksud eksploitasi seks.

Pak Soh Kuen, 59, didakwa melakukan perbuatan itu di Hotel Luck, Jalan C.M Yussuff dan di sebuah Refleksologi Lucky, Jalan C.M Yussuff di sini pada Mac hingga Ogos tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan kes disebut semula pada 7 Disember ini.

Tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh yang bekerja di sebuah tadika diwakili peguam Mahinderjit Singh. - BERNAMA


pemerdagangan manusia , mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain