suria

11 Anggota Panel J/Kuasa Bebas Siasat Kebakaran Di HSA Dilantik

SEGAMAT: Seramai 11 anggota panel dilantik dalam Jawatankuasa Bebas Siasatan Kebakaran berhubung tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bulan lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kesemua anggota panel yang terdiri daripada anggota bukan dari kerajaan dan bebas menjalankan siasatan tanpa sekatan, akan memulakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

"Mereka (anggota panel) bertanggungjawab membuat siasatan terhadap kelemahan atau kesilapan dengan tujuan untuk membetulkan kelemahan sedia ada serta memberi nasihat kepada Kementerian Kesihatan dan agensi lain yang terlibat agar tragedi sama tidak berulang lagi," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke beberapa rumah di sekitar Kampung Baru, Batu Anam selepas merasmikan majlis gotong-royong mega bersepadu perangi aedes, peringkat kebangsaan 2016 di sini.

Pada 25 Okt lalu, kebakaran di unit rawatan rapi di hospital itu mengakibatkan enam pesakit terkorban.

Dr Subramaniam berkata pihaknya juga belum menerima laporan penuh kejadian kebakaran HSA dan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak bomba.

Sementara itu, mengulas mengenai program gotong-royong itu, Dr Subramaniam berkata ia dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata sebanyak 18 peratus tempat pembiakan nyamuk aedes adalah di kawasan tanah rata dan 30 peratus di tapak pembiakan, justeru, kementerian akan menumpukan pembersihan di kawasan terbabit.

Katanya berdasarkan statistik dari Januari 2015 hingga Januari 2016, kes denggi di Malaysia menurun daripada 106,757 kes pada tahun lepas kepada 92,891 kes tahun ini.

Kes kematian juga menurun daripada 293 kematian pada tahun 2015 kepada 214 kematian pada tahun ini, tambahnya. 

Artikel Lain