suria

Shafie Apdal Ke Bukit Aman Esok

PETALING JAYA: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan ke Bukit Aman pagi Isnin untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan 1MDB di Parlimen baru-baru ini.

Sumber terdekat dengan Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihak polis telah menghubungi bekas naib presiden Umno itu pada Rabu lalu.

"Selepas berbincang, kedua-dua pihak bersetuju untuk Datuk Seri Shafie ke Bukit Aman pada 10 pagi Isnin ini," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Sumber itu berkata, Shafie akan hadir bersama peguamnya untuk memastikan sesi merakamkan keterangan itu berjalan lancar.

Kata sumber itu lagi, pemimpin itu juga sedia memberi kerjasama bagi membantu pihak polis menyiasat kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya mempunyai asas yang cukup untuk menyiasat tiga bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan.

Kata Khalid, kes 1MDB masih dalam siasatan dan mendedahkan beberapa perkara yang membabitkan dakwaan salah laku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan sebagai Akta Hasutan.

Tiga bekas menteri berkenaan adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimana pun, sesi merakamkan keterangan  bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Isnin lalu telah ditangguhkan.

Dilaporkan, semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".

Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.

Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.



Shafie Apdal, Bukti Aman, 1MDB

Artikel Lain