suria

Lawatan Rasmi Ke China Capai Kejayaan Luar Biasa - PM

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasminya kali ketiga ke China mencapai kejayaan luar biasa, bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala tetapi membawa pulang keberhasilan yang boleh dihitung.

Pemeteraian 14 Memorandum Persefahaman bernilai RM144 bilion antara syarikat Malaysia dan China dengan beberapa projek ikonik dan mega yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sosial ekonomi negara.

Pembangunan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), laluan landasan berkembar kereta api menghubungkan Kuala Lumpur dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur seperti Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu and Tumpat, akan menjadi pemangkin kepada transformasi negeri-negeri di Pantai Timur.

"Projek-projek itu akan merangsang pertumbuhan sosioekonomi kawasan tersebut dan membawa banyak manfaat kepada rakyat di Pantai Timur," kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini Jumaat.

Beliau berada di sini untuk lawatan rasmi sejak Isnin.

Perdana menteri berkata projek itu "tidak boleh dianggap mega sahaja, iaitu projek untuk tujuan prestij tetapi boleh menambah kesalinghubungan dan sudah tentu menguntungkan rakyat dan mempercepatkan aliran pengangkutan barangan dan perkhidmatan dan membawa kepada peningkatan ekonomi, dan ini juga boleh dianggap sebahagian daripada inisiatif "One Belt One Road" China.

Perdana menteri berkata masa depan kesalinghubungan di rantau Asia Tenggara akan menjadi lebih bermakna dengan pelaksanaan ECRL, selain membawa kepada suntikan modal dari China untuk membina laluan keretapi itu.

Menyentuh mengenai pelaburan di mana China telah melabur US$2.5 bilion (RM10.46 bilion) di Malaysia, dan syarikat Malaysia pula melabur US$7.5 bilion (RM31.38 bilion) di China, Najib berkata jumlah itu akan terus bertambah.

Beliau berkata lawatannya juga bukan sahaja untuk kepentingan perniagaan yang besar tetapi juga bagi pekebun kecil kelapa sawit dan penternak burung walit bagi memastikan pengeksportan produk keluaran mereka ke China dapat dipertingkatkan bagi menambah pendapatan mereka.

Dari segi usaha sama yang strategik dan komprehensif pula, kali ini penekanannya diberikan dalam bidang pertahanan dengan pembelian empat buah kapal misi pesisir serta peningkatan kerjasama dalam bidang pertahanan, counter terrorism serta dalam pengendalian pusat serantau memerangi mesej melalui komunikasi.

Kerjasama di antara kedua buah negara kini lebih bermakna dan komprehensif, katanya.

Menyentuh kejayaan luar biasa dalam lawatannya kali ini, Najib berkata ia adalah untuk negara dan rakyat Malaysia, sambil menegaskan beliau tidak  mempunyai apa-apa tujuan selain memastikan ia dapat memperkukuhkan persahabatan dengan China yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Sudah tentu hasil lawatan ini membawa kesan yang positif," katanya.

Selain itu, beliau juga mahu mereka yang terlibat dalam segala keputusan yang dicapai supaya memastikan pelaksanaannnya berjalan lancar.

"Segala keputusan dicapai perlu memastikan pelaksanaannya tercapai dan tidak berlaku kelambatan dan tanda tanya kepada komitmen kita," katanya.

Beliau turut menugaskan Tan Sri Ong Ka Ting, yang merupakan perutusan khas Perdana Menteri ke China bagi mewakilinya dalam memastikan pelaksanaan semua projek dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Beliau turut menekankan mengenai kemampuan negara China untuk melaksanakan sesuatu dengan cepat dan pantas, di mana kepantasan dalam pelaksanaan akan meyakinkan semua pihak.

Pelaksanaan penting kerana ia memerlukan komitmen semua pihak untuk memastikan projek-projek yang diluluskan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan, katanya. - BERNAMA

Najib Tun Razak, China

Artikel Sebelum

Artikel Lain