suria

Empangan Murum Bernilai RM4.1 Bilion Dirasmi Hari Ini

Empangan Murum.

BELAGA: Empangan hidroelektrik ketiga, Sarawak Energy Bhd (SEB) dengan kemampuan penjanaan tenaga sebanyak 944-Megawatt (MW), Empangan Murum telah dirasmikan pada Selasa.

Pengerusinya, Datuk Amar Hamed Sepawi berkata empangan bernilai RM4.1 bilion itu merupakan projek empangan hidro ketiga selepas empangan Batang Ai yang mula dibina pada 30 tahun lepas.

"Kapasiti terpasang negeri ini telah bertambah daripada 1,300MW kepada 4,600MW. Ia dijangkakan meningkat kepada kira-kira 5,300MW menjelang 2020 dan akan melonjak kepada kira-kira 8,000MW menjelang 2025.

"Dominasi penggunaan tenaga hidro bermakna kos penjanaan yang lebih rendah dan pelanggan organik (bukan industri) di seluruh negeri, termasuk keseluruhan sektor membayar tarif tenaga yang murah dan ini adalah yang paling rendah di rantau ini," katanya pada majlis pelancaran empangan tersebut yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Hamed berkata ketidakstabilan harga bahan api fosil juga tidak memberi kesan kepada tenaga hidro dan ia juga memainkan peranan yang besar dalam memelihara iklim di mana penjanaan kuasa hidro telah mengurangkan pelepasan karbon sebanyak hampir 60 peratus.

"Sarawak perlu sistem pembekalan elektrik yang moden dan pelaburan kami dalam sistem penjanaan, penghantaran serta pengagihan bakal menjadi antara yang terbaik di rantau ini.

"Kami sedang mengeksport tenaga kami ke Kalimantan Barat dan tidak lama lagi ke Sabah dan Brunei, sementara Kalimantan Utara, Indonesia juga mahukan kami untuk membangunkan bekalan kuasa mereka," katanya.

Hamed berkata SEB juga merupakan pemangkin kepada pelan pembangunan perindustrian Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan menjadi sebahagian daripada strategi bagi mencapai kemakmuran ekonomi.

"Kejayaan SCORE adalah jelas dalam mempercepatkan pertumbuhan permintaan yang mencatatkan peningkatan sebanyak empat kali ganda jualan tenaga iaitu 4,700 gigawatt jam (Gwh) pada tahun 2009 kepada lebih 20,000Gwh pada tahun ini.

"Permintaan tetap untuk industri intensif tenaga SKOR dan pelanggan luar negeri adalah melebihi 3,000MW," katanya.

Katanya, lebih 90 peratus daripada penduduk Sarawak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, termasuk di kawasan penempatan semula Murum.

"Kami berharap untuk menjadi peneraju utama Sarawak di rantau ini dalam pembangunan tenaga seperti Petronas dalam industri petroleum Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain