JTK Arah Rayani Air Segera Keluar Surat Berhenti Kerja - Semasa | mStar

JTK Arah Rayani Air Segera Keluar Surat Berhenti Kerja

PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor mengarahkan majikan Rayani Air supaya segera mengeluarkan  surat pemberhentian kerja kepada kira-kira 400 pekerja syarikat penerbangan itu.

Pengarahnya, Mohd Asri Abd Wahab berkata, pengeluaran surat itu perlu kerana Rayani Air tidak lagi beroperasi sejak Jun lalu.

"Saya sudah minta majikan Rayani Air untuk mengeluarkan surat itu pada Jun lalu. Jadi, saya minta majikan segera berbuat demikian jika ia masih belum dilakukan," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai rungutan sebahagian pekerja Rayani Air yang mendakwa sehingga kini belum menerima surat pemberhentian kerja.

Ketiadaan surat itu membuatkan pekerja ibarat 'gantung tak bertali', selain isu tunggakan gaji masih belum selesai.

Mohd Asri turut menasihatkan pekerja supaya meminta wakil untuk menghantar surat kepada majikan bagi mendapatkan pengesahan berhubung status mereka di syarikat itu.

"Pekerja juga boleh datang ke JTK untuk mendapatkan nasihat mengenai perkara ini termasuk membuat tuntutan kes buruh," katanya yang merujuk kepada gaji tertunggak.

Sementara itu, wakil pekerja Rayani Air, Zulkalnain Azdan mendakwa, sehingga kini majikan masih belum mengeluarkan surat pemberhentian kerja menyebabkan pekerja sukar untuk memohon pekerjaan di syarikat lain.

Malah beliau yang merupakan Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mendakwa, majikan juga masih belum melunaskan tunggakan gaji selama lima bulan sejak Mac lalu.

"Kami gesa majikan Rayani Air supaya melunaskan tunggakan gaji pekerja selama lima bulan kerana kami masih pekerja mereka sehingga kini," kata Zulkalnain.

Selain itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Kewangan Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan mengakui surat berkenaan masih belum dikeluarkan kepada pekerjanya.

Beliau yang juga isteri kepada Ravi Alagendrran, pemilik syarikat penerbangan itu berkata, kelewatan tersebut disebabkan ketiadaan pekerja di bahagian sumber manusia untuk menguruskan hal tersebut.

Karthiyani bagaimanapun berkata, surat yang akan dikeluarkannya kepada pekerja adalah surat 'retrenchment'.

"Saya akan menyiapkan surat 'retrenchment' ini esok (Rabu). Surat ini akan diposkan kepada semua pekerja esok," ujar Karthiyani menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Selasa.

Jun lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan ASL, serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Rayani Air , JTK Selangor

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain