Penggantungan Sementara Perkhidmatan LRT Laluan Seri Petaling-Ampang - Semasa | mStar

Penggantungan Sementara Perkhidmatan LRT Laluan Seri Petaling-Ampang

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL laluan Sri Petaling dan Ampang akan digantung sementara pada Sabtu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja migrasi sepenuhnya sistem semboyan.

Prasarana Malaysia Berhad berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa semasa tempoh penggantungan, Rapid KL akan menyediakan bas pengantara percuma bagi memastikan penumpang menikmati keselesaan perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Perkhidmatan bas pengantara percuma Sabtu ini adalah sama seperti penyediaan bas pengantara semasa tempoh penggantungan pada 7 dan 8 Julai," kata kenyataan itu.

Prasarana berkata 70 bas pengantara akan disediakan membabitkan 16 zon laluan dari stesen LRT Bandar Puteri, Kinrara BK5, Sri Petaling, Sungai Besi, Bandar Tun Razak, Cempaka, Pandan Indah, Maluri, Chan Sow Lin, Pudu, Hang Tuah, Sentul Timur, PWTC, Bandaraya, Puchong Prima dan Putra Heights.

Semua bas pengantara akan berlepas ke stesen LRT Masjid Jamek dan berakhir di hab bas Pasar Seni, dekat stesen LRT Pasar Seni.

Menurut kenyataan itu, melalui penghijrahan sepenuhnya sistem semboyan, penumpang yang menaiki tren baharu enam gerabak boleh menikmati perjalanan terus antara stesen Sentul Timur dan Putra Heights yang akan dikenali secara rasmi sebagai Laluan LRT Petaling pada Sabtu.

LRT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain