suria

Calon, Kerjasama Jentera Parti Formula Kemenangan BN Di Sungai Besar - Hisham

SUNGAI BESAR: Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar banyak dipengaruhi faktor calon dan gerak kerja jentera parti berkenaan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kelebihan calon dan kerjasama parti komponen serta semangat berpasukan menjadi formula kepada kemenangan BN kali ini.

"Banyak faktor termasuk faktor calon, kerjasama dengan parti-parti komponen, selain gerak kerja oleh negeri-negeri angkat, bahagian-bahagian angkat di Selangor ini.

"Paling penting bagi saya, semua perlu bergerak senada dan seirama, itu yang saya rasa orang kadang-kadang ambil mudah," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Sungai Besar.

Keputusan itu menyaksikan calon BN, Budiman Mohd Zohdi menang dengan kiraan 16,800 undi sekali gus mencatat majoriti besar 9,191 undi.

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Ab Shukur mendapat 7,609 undi, manakala calon PAS Dr Rani Osman mendapat 6,902 undi.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata, Budiman adalah calon tempatan yang jujur, ikhlas dan menunjukkan kesungguhannya dalam mendekati rakyat.

Katanya, faktor itu jugalah yang dipercayai dapat menarik kembali pengundi-pengundi Cina terutama di Sekinchan untuk kembali kepada BN.

"Saya fikir kita kena kaji semula, ada trend pengundi balik kepada BN dan saya harap trend ini berterusan.

"Saya yakin banyak pengaruh calon itu sendiri, cara dia bawa diri dengan mendekati pengundi Cina dan juga cara kita berkempen bersama dengan parti-parti komponen itu penting,itu kekuatan yang ada dalam BN," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai isu 1MDB yang cuba dimainkan pembangkang yang dilihat tidak memberikan kesan kepada pengundi.

"Ia  sudah diuar-uarkan dari hari pertama kita berkempen tapi nampaknya akhirnya yang tentukan adalah pengundi di sini.

"Sekiranya majoriti begitu besar telah diperolehi oleh calon kita dan isu-isu ini telah dilontarkan terhadap kita, orang lain boleh nilai sama ada isu-isu itu ada kesan atau tak kepada kita," katanya.

Artikel Lain