suria

Undi Kaum Cina Punca PAS Gagal Atasi Amanah Di Sungai Besar - Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar Sabtu malam, menyaksikan PAS gagal mengatasi parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah) atas faktor pengundi Cina.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata Amanah mampu mengatasi PAS kerana meraih sokongan yang kuat daripada kaum Cina, di samping mendapat bantuan daripada DAP sepanjang tempoh berkempen.

"Kalau kita tengok, Amanah mengatasi kita di semua pusat mengundi kawasan Cina kerana mereka juga mendapat bantuan DAP," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu malam.

Beliau berkata antara punca PAS gagal mengatasi Amanah pada PRK Sungai Besar adalah kerana isu-isu yang diputar-belitkan oleh media berbahasa Cina terhadap parti itu.

"Kita tidak sempat buat penerangan untuk menjawab isu-isu yang diputar-belitkan dan tidak benar itu oleh akhbar berbahasa Cina, jadi mereka marah dengan kita di sana," katanya.

Walaupn PAS berjaya mengatasi Amanah di Kuala Kangsar, Idris berkata keputusan pada PRK itu tidak boleh dijadikan ukuran mengenai sokongan pengundi terhadap PAS dan Amanah, kerana kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan disandang  Barisan Nasional (BN).

BN menang besar di kedua-dua kawasan Parlimen itu dengan Datin Mastura Mohd Yazid, balu kepada bekas anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, memperoleh majoriti 6,969 undi, melebihi majoriti 1,082 undi yang diraih Allahyarham suaminya.

Sementara, Budiman Mohd Zohdi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, meraih majoriti 9,191 undi, melebihi majoriti undi yang diperoleh bekas anggota Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon sebanyak 399 undi. 

Mastura meraih 12,653 undi dalam pertandingan empat penjuru, menewaskan Ketua Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi, Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli daripada Parti Amanah Negara (4,883 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).

Sementara Budiman memperoleh 16,800 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur yang memperoleh 7,609 undi dan Dr Abdul Rani Osman daripada PAS yang juga Adun Meru, yang mendapat 6,902 undi

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il dan Noriah dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.-- Bernama

Cina, PAS, Amanah, PRK Sungai Besar

Artikel Lain