suria

Mastura Bersyukur, Mahu Cepat Turun Padang Lunas Janji

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menemui Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid yang ditemani empat anaknya, dari kiri Wan Muhammad Amar, Wan Imar Izzat, Wan Emir Astar dan Wan Iskandar dikediamannya di Kuala Kangsar, Sabtu malam. Dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, Mastura menang majoriti 6,969 undi setelah memperoleh 12,653 undi. Hadir sama Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa (dua kanan).

PETALING JAYA: Datin Mastura Mohd Yazid yang berjaya mengekalkan kerusi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Kangsar mahu segera mencurah khidmat kepada rakyat di kawasan P097.

Calon BN itu akan meneruskan legasi arwah suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga penyandang jawatan di Parlimen sama.

"Syukur atas ketentuan Allah. Saya berharap dapat segera berkhidmat untuk rakyat Kuala dan melunaskan janji yang dibuat sepanjang tempoh berkempen baru-baru ini," katanya ketika ditemubual secara langsung di TV3 sebaik keputusan pilihan paya kecil (PRK) diumumkan, Sabtu malam.

Bagaimanapun, kata Mastura, gerak kerjanya selepas ini akan berpandukan nasihat yang disampaikan ilmuan Islam termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Ditanya apakah mesej yang mahu disampaikan kepada pengundi Kuala Kangsar, Mastura berkata, beliau sangat berterima kasih kepada rakyat Kuala Kangsar yang memberi peluang untuk beliau berkhidmat di sini.

"Saya sangat-sangat berterima kasih dan ingin menzahirkan kasih sayang kepada rakyat Kuala yang memberi peluang untuk saya berkhidmat.

"Saya akan cuba sedaya upaya demi masa depan orang Kuala," katanya. 

Mastura memperoleh 12,653 undi, meninggalkan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dengan 5,684 undi, manakala Amanah yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli mendapat 4,883 undi. Selain itu, calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hilang wang deposit apabila hanya mendapat 54 undi.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain