suria

BN Menang Besar, Pertahan Parlimen Sungai Besar

SUNGAI BESAR: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusinya di Parlimen Sungai Besar dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya Budiman Mohd Zohdi.

BN diumumkan sebagai pemenang dalam pertembungan tiga penjuru ini dengan majoriti 9,191 undi, meninggalkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 7,609 undi dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang mendapat 6,902 undi.


Pengumuman keputusan dibuat oleh Pegawai Pengurus PRK Sungai Besar Khairuddin Mad Som pada pukul 10.02  malam di Dewan Seri Bernam, di sini.

Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang memasuki dewan berkenaan pada kira-kira pukul 9 malam, memakai baju kemeja BN.

Hadir meraikan kemenangannya adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut kelihatan  Pengarah PRK Sungai Besar BN, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.


Artikel Lain