suria

Lesen Rayani Air Dibatalkan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada Isnin membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air.

Menerusi kenyataan, suruhanjaya penerbangan itu berkata Rayani Air telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

"Rayani Air tidak lagi boleh beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa hari ini," demikian menurut kenyataan itu.

Mavcom berkata ia membuat keputusan untuk membatalkan ASL itu setelah representasi bertulis Rayani Air tidak memberikan respons yang memuaskan terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada syarikat penerbangan itu pada 25 Mei tahun ini.

Dalam surat tunjuk sebab itu, Mavcom meminta syarikat penerbangan berkenaan supaya mengemukakan representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari sebelum suruhanjaya itu memutuskan sama ada Rayani Air patut dibenarkan terus memegang ASL atau sama ada patut dibatalkan atau digantung.

Mavcom berkata Rayani Air masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik kepada pelanggannya.

"Pelanggan yang telah membeli tiket dengan Rayani Air yang tidak dapat meneruskan perjalanan, boleh mengemukakan bantahan kepada syarikat itu dan menuntut bayaran balik.

"Jika pelanggan masih gagal mendapatkan bayaran balik, mereka boleh memfailkan saman sivil untuk bayaran balik itu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom Tan Sri Abdullah Ahmad berkata episod ini boleh dijadikan pengajaran bahawa menjalankan operasi syarikat penerbangan komersial berjadual, adalah langkah yang amat mencabar dan memerlukan tahap perancangan yang tinggi, kekukuhan kewangan, pengetahuan operasi serta keupayaan melaksana, untuk berjaya.

Ini terutamanya memandangkan syarikat penerbangan kini beroperasi dalam suasana persaingan yang sengit.

"Oleh itu asas komersial yang kukuh dan mampan merupakan prasyarat untuk menjadi penggiat dalam industri ini. MAVCOM akan berusaha memastikan hanya syarikat yang lengkap dan bersedia akan dibenarkan mengambil bahagian," katanya.

Mavcom, yang memulakan operasi pada 1 Mac 2016, antara lain bertanggungjawab bagi perkara seperti lesen syarikat penerbangan, caj lapangan terbang, lokasi laluan, resolusi pertikaian dan perlindungan pelanggan.

Artikel Lain