suria

Dr Mahathir Tak Patut Guna Dendam Peribadi Bantu Pembangkang - Salleh Keruak

Salleh (dua,kiri) membantu mengacau bubur lambuk di balai raya selepas sesi tinjauan mesra di Bazar Ramadan Sekinchan, Ahad. Foto Bernama

SUNGAI BESAR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menjadikan dendam peribadinya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai isu dalam usahanya membantu kempen calon pembangkang pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan bekas perdana menteri itu yang lebih berminat untuk memperjuangkan politik peribadinya daripada memberi penekanan terhadap pembangunan di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut.

"Motif beliau (Dr Mahathir) adalah untuk menjatuhkan perdana menteri sedangkan rakyat perlu memilih wakil rakyat bagi mengisi kekosongan (kerusi Parlimen) dan yang boleh membantu membela nasib mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis kenduri kampung memasak bubur lambuk dan nasi ambeng di Kampung Seri Sentosa, Sekinchan di sini, Ahad.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman; Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab.

Beliau berkata, Dr Mahathir seringkali membangkitkan isu-isu kitar semula khususnya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun ia telah disiasat, dijawab dan diambil tindakan.

"Dr Mahathir mengamalkan politik dendam yang tidak habis-habis, walaupun ada perselisihan, sepatutnya ia diurus secara baik," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Salleh berkata setiap perdana menteri mempunyai kaedah tersendiri dalam menjalankan pentadbiran.

Beliau berkata, Najib mentadbir negara ketika dunia berdepan dengan pelbagai masalah seperti kejatuhan komoditi dan kelembapan ekonomi selain fitnah melalui media sosial.

Katanya, bukan mudah menjadi pemimpin yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dunia, tetapi Najib mampu menghadapinya.

Dalam pada itu, Salleh meminta pengundi Parlimen Sungai Besar memilih calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi yang diyakini mampu meneruskan kesinambungan khidmat terbaik kepada masyarakat. 

Katanya, hanya BN yang telah terbukti mampu mentadbir negara sejak kemerdekaan dicapai sehingga kini. 

Berbeza daripada pakatan pembangkang yang tidak mampu mencapai kata sepakat termasuk dalam meletakkan calon di kedua-dua kawasan Parlimen, sekaligus membuktikan ketidakupayaan mereka dalam mentadbir dan memberi tumpuan kepada pembangunan negara.

"Jika dibandingkan BN dengan Pakatan Harapan, mereka hanyalah kumpulan kecil tetapi tidak boleh urus rumah sendiri sedangkan BN walaupun mempunyai lebih 10 parti komponen, tetapi mampu bersatu dan bersepakat untuk meletakkan hanya satu calon sahaja bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Ini harus dilihat oleh rakyat, kalau kita nak negara sentiasa maju pilihlah parti yang mampu melakukannya iaitu BN," katanya.

Pada PRK itu, BN bakal ditentang calon PAS yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur dari parti Amanah. 

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - Bernama

Artikel Lain