suria

'Juruterbang' Dihantar Pulang Dari P.Pinang

- Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Dia kelihatan segak memakai pakaian seragam juruterbang, tetapi dia yang hanya menyamar itu gagal menerbangkan pesawat dan telah dihantar pulang sebaik sahaja penerbangannya tiba di pulau ini dari Hong Kong.

Lelaki berusia 18 tahun itu yang mendakwa mempunyai darah Afrika Selatan, mengambil penerbangan ke Pulau Pinang dari Hong Kong dengan memakai pakaian seorang juruterbang pada 31 Mac lalu. Dia dipercayai telah tiba Pulau Pinang pada petang hari yang sama.

Sumber Jabatan Imigresen Pulau Pinang berkata, dia telah diserahkan kepada jabatan itu oleh kakitangan syarikat penerbangan selepas mereka mendapati bahawa dia bukanlah seorang juruterbang.

Sumber itu berkata, remaja terbabit telah melanggar peraturan masuk ke Pulau Pinang sebagai pelancong. Dia telah dihantar pulang ke Hong Kong pada 2 April.

Difahamkan, remaja itu, yang telah memakai pakaian seragam juruterbang - kemeja putih dengan pangkat di bahu, seluar panjang hitam dan tali leher hitam menaiki penerbangan kelas perniagaan.

Dia juga membawa lanyard dan bagasi dengan logo syarikat penerbangan pesawat yang dinaikinya.

Dalam laporan dalam talian oleh South China Morning Post bertarikh 3 Mei, ia telah menyatakan bahawa pemuda itu telah memberitahu anak kapal bahawa dia baru sahaja selesai mengendalikan penerbangan dari San Francisco dan meminta untuk bercakap dengan juruterbang selepas pesawat itu tiba di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, krew penerbangan mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila dia memesan segelas koktel kerana minuman beralkohol dilarang oleh syarikat penerbangan untuk krew dan juruterbang yang bertugas.

Krew kabin menjadi semakin curiga apabila pemuda itu tidak dapat memberikan dokumen pengenalan untuk pengesahan, serta tidak dapat memberikan nombor pengenalan juruterbang yang betul.

Dia dihalang daripada menghampiri kokpit dan telah diserahkan kepada pegawai Imigresen apabila tiba di Pulau Pinang.

Dia kemudian mengaku bahawa dia bukan seorang juruterbang dan seragam dan barang yang digunakannya adalah milik bapa tirinya yang didakwanya adalah seorang juruterbang dengan syarikat penerbangan itu.

Turut dilaporkan bahawa pemeriksaan rapi telah dijalankan ke atas pesawat itu semalaman untuk memastikan keselamatan pesawat.

Ini menyebabkan penerbangan seterusnya dari Pulau Pinang ke Hong Kong ditangguhkan dua jam pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian itu.

Artikel Lain