suria

Budak Perempuan Ditinggal Di Tepi Jalan Dakwa Didera Ibu

BATU PAHAT: Seorang budak perempuan ditemui sedang berkeliaran di tepi jalan selepas ibunya didakwa memukul dan meninggalkannya di Jalan Parit Osman-Parit Sulong di sini.

Orang ramai yang lalu-lalang menghubungi polis selepas melihat kesan-kesan luka di tangannya, kira-kira pukul 6.55 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, budak perempuan itu dipercayai berusia kira-kira empat tahun, mendakwa bahawa ibunya telah merotannya di rumah sebelum meninggalkannya di tepi jalan pada malam Isnin.

"Budak itu memberitahu kami bahawa datang dari ladang berhampiran.

"Tetapi dia tidak dapat memberi butir-butir ibu bapanya atau ladang yang dimaksudkannya," katanya, Selasa.

Din berkata, kanak-kanak itu yang kelihatan lemah mungkin kerana keletihan dan kelaparan, sudah menjalani rawatan di Hospital Batu Pahat.

Beliau berkata kanak-kanak itu juga mempunyai kesan calar pada tangan dan kecederaan pada jarinya sudah dibalut dengan kain putih apabila dia ditemui.

"Dia mendakwa kecederaan itu dialami selepas dirotan ibunya tetapi kita masih tidak dapat memastikan cerita ini kerana ibu bapanya masih belum dikenal pasti," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi hotline polis negeri di talian 07-2212999.

"Kami sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penyalahgunaan kanak-kanak," katanya.
kes dera, rotan

Artikel Lain