suria

Negara Berdepan Krisis Air, Bekalan Kritikal

PETALING JAYA: Musim kemarau yang berpanjangan menyebabkan negara berpotensi besar mengalami krisis air kesan daripada fenomena El Nino ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meningkatkan amaran berkaitan kekurangan bekalan air walaupun penjimatan telah dilaksanakan.

Keadaan sungai semakin kering manakala tahap bekalan di empangan juga semakin menyusut.

Ketua Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata langkah-langkah segera diperlukan untuk mengingatkan orang ramai agar tidak membazir dan mula menjimatkan air.

Cuaca panas dan kering berpanjangan memberi kesan yang berbeza-beza setiap negeri.

Kesan paling buruk mula dihadapi oleh 85,000 pengguna domestik serta kawasan industri di sebahagian Negeri Johor apabila catuan air terpaksa dilakukan bermula Isnin.

Ini berikutan empat loji rawatan air di Kota Tinggi dan daerah Mersing telah mencapai tahap kritikal.

Ketika tempoh catuan ini, bekalan air akan berjalan seperti biasa selama satu hari di beberapa kawasan terlibat, manakala dua hari berikutnya bekalan air akan disekat.

Sementara itu, di Pahang, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berkata, semua pihak kini sudah boleh mula mencari alternatif lain untuk mendapatkan air, termasuk sumber telaga.

Peringatan itu dibuat berikutan semua air sungai di Pahang menurun secara drastik sehingga menyebabkan tiga daerah sukar mendapatkan sumber air mentah untuk digunakan di loji rawatan.

Lebih 7,000 orang yang berada di Lipis, Pekan dan Temerloh menghadapi gangguan bekalan air ini.

Manakala di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan catuan air jika musim kemarau berterusan.

Namun setakat ini, ketiga-tiga empangan utama di Melaka masih mempunyai air yang mencukupi.

Di bahagian utara, seluruh tasik di sempadan Perak-Thailand kelihatan sudah 'hilang'.

Dan kesan kemarau ini juga memudahkan orang ramai menyeberangi Sungai Golok di Rantau Panjang tanpa menggunakan sebarang dokumen perjalanan.

Musim kemarau turut menyebabkan beberapa bahagian di sungai menjadi kering.

Pembekal air di Pulau Pinang, PBA Holdings Bhd menggesa kerajaan pusat untuk mengarahkan pihak pengurusan air agar menghentikan pengairan sawah padi, terutama di kawasan utara, sehingga hujan kembali.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Datuk Jaseni Maidinsa berkata, langkah yang luar biasa diperlukan untuk menangani masalah ini yang dianggap sebagai 'super kemarau'.

Jaseni berkata air dari Sungai Muda, Kedah sangat berharga untuk digunakan beribu-ribu hektar sawah padi di Kedah dan Pulau Pinang.

Kemarau, El Nino, catuan air, kering

Artikel Lain