suria

Gunting Lidah: Mangsa Dibuli Lima Budak Lelaki

KLANG: Murid Tahun Dua dipaksa menggunting lidahnya sendiri menggunakan gunting selepas mangsa dibuli oleh lima budak lelaki berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, insiden berlaku di sebuah kelas di SRK Batu Unjur, Bukit Tinggi, Bukit Tinggi di sini, Khamis.

Ketika kejadian, tiada guru atau murid lain berada di dalam kelas berkenaan.

Ibu mangsa, seorang juruwang berusia 28 tahun, membuat laporan polis keesokan hari di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.

Menurut laporan, ibu mangsa menerima panggilan daripada pihak sekolah berhubung insiden pada kira-kira pukul 6 petang hari kejadian.

Wanita berkenaan bersama seorang guru kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Mangsa menceritakan bagaimana lima budak lelaki mengarahkannya supaya menggunting lidahnya sendiri sekiranya dia tidak mahu mukanya ditumbuk.

Mangsa kemudiannya terpaksa berbuat demikian kerana ketakutan.

Laporan polis yang dibuat ibu mangsa juga menunjukkan mangsa beberapa kali mengadu dibuli oleh sekumpulan budak lelaki.

"Dia (mangsa) menerima rawatan pesakit luar di hospital dan kecederaan itu hanya potongan kecil di lidahnya," kata Azman sambil menambah bahawa insiden berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pengarah Pelajaran Selangor, Zainureen Mohd Noor ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan oleh pihak sekolah dan jabatan pelajaran daerah.

"Kita juga sedang menunggu butiran siasatan daripada polis,

"Semua yang terlibat akan disoal bagi mendapatkan penjelasan dan satu laporan berhubung insiden akan dibuat," kata Zainureen.

Artikel Lain