suria

Makanan Beracun: Polis Buka Kertas Siasatan Siasat Kes Kematian

Hasnan Hassan.

IPOH: Pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kematian seorang wanita dalam kes makanan beracun di sebuah gerai makan di Siputeh, Batu Gajah awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini kertas siasatan itu adalah di bawah kes 'mati mengejut'.

Selain itu beliau berkata, pihaknya turut membuka kertas enkuari polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara terperinci termasuk mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan. 

"Kita akan dapatkan laporan daripada Jabatan Kimia tentang apakah bahan yang menjadi racun kepada mangsa sehingga dia meninggal dunia," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Polis Ke-209 peringkat negeri di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini, Jumaat.

Rabu lepas Hawa Buyong, 46, yang dimasukkan ke hospital sejak 4 Mac lepas meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 malam di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini yang dilapor berpunca akibat komplikasi ekoran oksigen tidak dapat mengalir dengan secukupnya ke otak mangsa. 

Dalam perkembangan lain Hasnan berkata statistik indeks jenayah di Perak mencatatkan peningkatan sebanyak 210 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Mac. 

Beliau berkata sebanyak 1,538 kes dicatatkan sepanjang tempoh tersebut, berbanding 1,328 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Antara kes yang menyumbang kepada peningkatan indeks jenayah ialah kes curi motosikal iaitu sebanyak 522 kes, kes pecah rumah 254 kes serta lain-lain 262 kes," katanya. - Bernama

Artikel Lain