suria

Gantung Jawatan Muhyiddin Demi Kesempurnaan Perjalanan Parti - Ku Nan

Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno dibuat mengikut perlembagaan parti dan demi kesempurnaan perjalanan parti, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata penggantungan jawatan Muhyiddin dibuat di bawah kuasa sedia ada dan lebihan (residual powers) Majlis Tertinggi (MT) seperti di dalam Fasal 10.15.

"Manakala fasal 9.12 Perlembagaan Umno adalah berkenaan 'pelucutan jawatan' mana-mana Ahli Majlis Tertinggi Umno. Ianya berbeza dengan penggantungan jawatan membabitkan Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

MT Umno pada Jumaat lepas sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan MT akan datang.

Keputusan itu diambil selepas MT berpuas hati Muhyiddin gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden mengikut fasal 9.8.1 Perlembagaan parti dan tugas-tugas timbalan presiden kini dijalankan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Khamis, Muhyiddin mendakwa penggantungan jawatannya itu tidak mengikut prosedur dan perlembagan parti dan oleh itu beliau akan merujuk perkara tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Tengku Adnan menjelaskan, MT Umno merupakan badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Tahunan dan ini jelas di dalam Fasal 9.1 Perlembagaan Umno.

"Apa jua keputusan Majlis Tertinggi akan dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung bila tiba masanya," katanya.

Tengku Adnan berkata mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah manakala Seksyen 16 Akta Pertubuhan ialah berkenaan pertikaian sesama ahli atau kalangan ahli.

"Ianya tidak terangkum dalam kes penggantungan jawatan Muhyiddin," katanya sambil menambah, saluran yang patut diambil ialah berbentuk dalaman parti sahaja.  - BERNAMA

MT Umno, Muhyiddin Yassin

Artikel Lain