suria

Kolej Pengajian Al-Quran Dibuka Mei Ini

KUALA NERUS: Kolej al-Quran Terengganu (KQT) akan dibuka pada Mei ini dengan pengambilan pertama 60 pelajar bagi Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz al-Quran dan Bahasa Arab.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kolej swasta milik kerajaan Terengganu yang berteraskan pengajian al-Quran tersebut memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.

"KQT akan mula membuka pendaftaran bermula 4 Mac ini menerusi laman web www.kqt.edu.my dan pelajar lepasan SPM digalakkan memohon untuk mengikuti pengajian ini memandangkan KQT merupakan institusi pengajian tinggi swasta yang bertaraf kolej.

"Syarat untuk memohon ialah pemohon mesti lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam tiga mata pelajaran termasuk Bahasa Arab atau lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia atau setara dengan sekurang-kurangnya pangkat Jayyid atau lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan sekurang-kurangnya dua prinsipal termasuk Bahasa Arab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah al-Quranul Karim Peringkat Negeri Terengganu di sini malam tadi.

Tilawah al-Quranul Karim Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman itu berlangsung tiga hari dari 1 hingga 3 Mac 2016 bertempat di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.

Ahmad Razif dalam pada itu berkata pemohon juga mestilah lulus temuduga lisan al-Quran yang dikendalikan KQT dan tempoh pengajian adalah selama tiga tahun dengan enam semester.

"KQT telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelajar yang tamat pengajian di kolej ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada dalam negara mahupun luar negara.

"Untuk permulaan ini, KQT akan beroperasi di kampus Institut Quran, Padang Midin dan kita jangka dalam beberapa tahun akan datang kolej ini akan turut menawarkan beberapa kursus lain di peringkat Diploma dan Ijazah (Sarjana Muda)," katanya.

Ahmad Razif berkata KQT juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam dalam kalangan anak negeri Terengganu.

"Sekarang kita sedang berunding dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk turut melaksanakan program pengajian yang dijalankan di UniSZA untuk turut diperkenalkan di KQT.

"Kita akan martabatkan KQT ini kepada kolej universiti kemudiannya menjadi universiti al-Quran yang pertama di dunia yang berkonsepkan al-Quran," katanya.

Al-Quran

Artikel Lain