suria

Sistem IT Pantau Harga Dipelbagai Peringkat - KSU KPDNKK

Alias Ahmad.

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan menerusi sistem pangkalan teknologi maklumat (IT) bagi memantau dan membendung kenaikan harga dalam rantaian pengedaran barangan.

Ia pendekatan baharu berbanding  pemeriksaan secara konvensional ketika ini berdasarkan aduan dan maklumat orang ramai serta operasi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  (KPDNKK).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata,  sistem pangkalan IT ini akan mengesan pergerakan dan trend harga dalam rantaian bermula dari peringkat pengeluaran, pengedaran sehingga ke peruncitan.

Katanya, semakan di peringkat awal itu bertujuan menangani kenaikan harga yang tidak wajar sehingga memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna.

"Kebiasaannya di peringkat pengilang didapati OK, tetapi harga mungkin akan dinaikkan lebih tinggi apabila di peringkat pemasaran umum yang kebanyakannya diwujudkan oleh pengilang sendiri.

"Selepas itu, ia akan beralih kepada pengedar atau, dan pemborong, seterusnya peruncit. Mungkin juga ada lapisan lain lagi sebelum pergi ke peruncit.

"Jadi, rantaian pengedaran ini berlapis-lapis sehingga ada banyak harga. Bahagian penguatkuasaan akan semak semua peringkat menerusi sistem ini.

"Berdasarkan sistem ini, kita akan kaji rantaian pengedaran ini bagi mengesan punca sebenar yang mengakibatkan kenaikan harga," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah baru-baru ini.

Alias berkata, peruncit tidak boleh dipersalahkan semata-mata sekiranya terdapat kenaikan harga kerana mereka terpaksa berdepan  kos tinggi daripada pihak yang membekalkan barangan.

"Peruncit sendiri dikenakan harga yang sudah tinggi. Jadi, mereka tiada pilihan lain, maka terpaksa menerima harga berkenaan, selain mahu mendapatkan untung," katanya. 

Tambah Alias, sistem berkenaan juga membolehkan KPDNKK mengesan harga belian dan jualan sesuatu barangan oleh peruncit seperti pasar raya dan pasar raya besar.

"Data ini membolehkan kita tahu hypermarket (pasar raya besar) dan supermarket (pasar raya) beli berapa dan jual berapa. Contohnya, mereka beli dengan harga RM6 dan jual pada harga RM10. Kita akan tahu.

"Kita akan dapat maklumat ini dan sistem akan tunjuk sama ada mereka menjual secara berlebihan kerana mencatut," katanya.

Pemeriksaan harga barang ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurut Alias, pihaknya dalam proses untuk membangunkan sistem berkenaan dan menjangkakan pelaksanaannya pada tahun ini.

Mengikut rekod, bahagian penguatkuasa KPDNKK telah memeriksa sebanyak 23,469 pengilang, 24,078 pemborong, 641 pembungkus, 19,154 pasar raya besar dan 33,903 pasar raya dari Januari 2015 sehingga Januari 2016.

KPDNKK, sistem IT, pantau harga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain