suria

Bomba Sasar Tingkatkan Waktu Tindak Balas 10 Minit Menjelang 2020

MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan peningkatan peratusan masa bertindak balas bagi menghadapi kes kecemasan dalam tempoh 10 minit, mampu dicapai menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, pengurangan masa tindak balas itu secara tidak langsung akan mempengaruhi prestasi, kecekapan dan keupayaan anggota selain mengurangkan risiko bencana ketika menghulur bantuan menyelamat nyawa mahupun harta benda.

Sepanjang tahun lepas hanya 44.46 peratus panggilan kecemasan yang berjaya dihadiri oleh pasukan bomba dalam masa 10 minit dan dalam tempoh empat tahun lagi bomba dijangka mampu memberi tindak balas terhadap 50 peratus daripada panggilan kecemasan yang diterima dalam tempoh yang ditetapkan itu, katanya.

"Faktor lokasi taburan balai yang jauh juga mempengaruhi masa untuk bertindak mengikut waktu tindak balas yang kita sasarkan...contohnya di beberapa kawasan seperti Johor, Sabah, Sarawak yang mempunyai kawasan yang luas dan balai yang ada tidak mampu menampung kes kecemasan di kawasan berkenaan.

Bagi kawasan bandar dan luar bandar pula kesesakan lalu lintas, kurang kerjasama daripada pengguna jalan raya yang lain antara penyumbang untuk faktor masa yang ditetap itu," katanya selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2015 di sini, Isnin.

Menurutnya walaupun laluan kecemasan telah disediakan termasuk di laluan lebuh raya bagi pasukan menyelamat seperti polis, bomba dan ambulan untuk bertindak pantas namun terdapat kekangan kerana ada pengguna yang melaluinya.

"Faktor-faktor seperti inilah menyebabkan kita gagal sampai ke tempat kejadian sehingga boleh mengundang kepada kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang lebih besar.

Sebagai contoh mudah, kalau kita bertindak pantas, api yang kecil mungkin boleh dipadam dengan hanya menggunakan alat pemadam api tetapi jika kita lambat, kebakaran itu akan merebak dan kehadiran dua jentera pun belum tentu dapat mengawal kebakaran tersebut dalam kadar segera," katanya.

Kata beliau kerajaan telah meluluskan pembinaan 150 balai di seluruh negara sekali gus dijangka dapat meminimumkan masa bertindak balas.

Soiman berkata kerjasama orang ramai juga penting dan mempengaruhi masa respons untuk pihaknya bertindak balas terhadap sebarang kejadian dengan memberikan maklumat tepat dan terperinci dan sasaran itu dapat dicapai.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 80,183 panggilan atau purata 220 panggilan kecemasan sehari telah direkodkan pihaknya.-- Bernama

bomba, Soiman Jahid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tun M Keluar Umno Lagi

Artikel Lain