suria

Polis Tembak Mati Seorang Geng Mamak, Dua Ditahan

TAIPING: Seorang anggota Geng Mamak mati ditembak, manakala dua lagi ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kereta polis di Plaza Tol Changkat Jering, petang Jumaat.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata bertindak atas maklumat kes samun di Rasah, Negeri Sembilan pagi semalam, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping terserempak dengan kereta Volkswagen Passat dinaiki suspek di lokasi kejadian.

"Suspek yang enggan memberhentikan kenderaan setelah diarah, bertindak merempuh kereta polis, dan polis terpaksa melepaskan tembakan sehingga mengenai bahagian rusuk pemandu.

"Suspek yang terbunuh berusia 38 tahun, manakala dua ditahan masing-masing berusia 31 dan 33 tahun. Kesemua mereka berasal dari Perak dan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di sini lewat malam Jumaat.

Osman berkata semasa kejadian itu, sebuah kereta jenis BMW 5 Series dipercayai rakan suspek tiba di kawasan tersebut dan cuba merempuh kereta polis sebelum terlepas daripada kepungan.

Beliau berkata BMW itu kemudian ditemukan tanpa pemandu serta penumpang di Kilometer 237.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dan pemeriksaan menjumpai beberapa barangan seperti sepucuk pistol jenis Barreta Semi Auto, vest polis, parang, 20 set plat kenderaan, satu gari dan dua walkie talkie.

Pemeriksaan ke atas kereta Volkswagen dipercayai disamun di Bukit Raja, Klang, Selangor tahun lepas itu pula menemukan wang tunai RM2,400, selain beberapa barangan termasuk plat kenderaan, sebilah parang serta topi dengan lambang polis.

"Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan Geng Mamak yang melakukan pelbagai jenayah seperti samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan mewah di beberapa negeri.

"Sehingga Januari ini, sebanyak 25 kes dilakukan kumpulan terbabit di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian dianggarkan RM2.4 juta," katanya, sambil menambah tiga kereta polis rosak dalam kejadian itu.

Polis turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana memberi maklumat sehingga dapat menumpaskan satu kumpulan yang aktif dan berbahaya ini, katanya.

Geng Mamak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain