suria

Lelaki Bawa Bom Mengaku Militan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana mengaku sebagai anggota Kumpulan Pengganas Daesh dan mendakwa membawa bom ke Kementerian Pertahanan (Mindef), Jalan Padang Tembak di sini, kira-kira pukul 8 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di pos pengawal setelah tiba di kementerian itu dengan menaiki sebuah teksi.

Mohamad Roy berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai tidak waras kerana dia mendakwa telah mendapat titah daripada Yang di-Pertuan Agong untuk ke Mindef dan bersemuka dengan orang-orang penting daripada kementerian itu.

"Sebaik tiba di pos pengawal, pemandu teksi yang mendengar lelaki itu membawa bom terus keluar meninggalkan teksi itu manakala suspek terus berada di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pegawai perisikan tentera telah menarik keluar lelaki itu dari teksi berkenaan dan membawanya ke sebuah bilik di balai pengawal.

Mohamad Roy berkata pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu mendapati dia membawa power bank, ubat, seutas tasbih, sebatang pen, sejumlah duit syiling dan wang tunai berjumlah RM45 di dalam beg silangnya.

"Lelaki itu kemudian diserah kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Tun Razak untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah kesemua barang milik lelaki itu turut dirampas.

Terdahulu, lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau disyaki menahan pemandu teksi itu di Gombak kira-kira pukul 6 petang sebelum dibawa ke Mindef.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Militan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain