suria

Bauksit: Dua Kakitangan PTG Didakwa Rasuah RM8,500

Dua pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, seorang menutup mukanya dengan tapak tangan, diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Khas Rasuah, Kuantan, Isnin menghadapi tuduhan menerima rasuah membabitkan perlombongan bauksit. Kedua-dua mereka antara empat kakitangan PTG Pahang yang ditahan 6 sejak Januari lalu untuk siasatan kes rasuah perlombongan bauksit. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Dua kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan menerima rasuah RM8,500 daripada seorang pelombong haram bauksit, dua minggu lalu.


Pengakuan Mohd Nurfirdaus Rahmad, 28, dan Abdul Rahim Sulaiman, 53, direkodkan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mohd Nurfirdaus yang merupakan pembantu awam di pejabat PTG didakwa menerima suapan itu dalam bentuk wang tunai daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, pada pukul 6.05 petang, 6 Januari lalu di Lorong Bukit Ubi 26, Bukit Sekilau di sini.


Abdul Rahim yang juga Penolong Pentadbir Tanah pula didakwa bersubahat dengan Mohd Nurfirdaus cuba menerima suapan itu pada pukul 9.16 malam, hari yang sama di nombor 12, Lorong IM15/26, Taman Indera Mahkota di sini.

Suapan itu dipercayai untuk memberi perlindungan kepada Anurul Hiraq dengan cara menjual 50 keping Borang Pemindahan Mineral (Borang 13D) yang bernombor siri PTG(M)/13D 1172260 hingga PTG(M)13D 1172309, bagi membolehkannya membawa bauksit secara haram ke Pelabuhan Kuantan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syafinas Shabudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. 
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Nurfirdaus yang berasal dari Kampung Serengkam, Maran kemudian merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin  yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan beliau telah berkahwin.

"Isteri saya sarat mengandung sekarang dan pendapatan saya hanya RM800 lebih sebulan. Mohon jasa baik mahkamah menetapkan jaminan paling minima," katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Sementara itu, Abdul Rahim dari Sungai Isap Damai di sini, turut merayu jumlah jaminan sama dikurangkan atas alasan mempunyai lapan tanggungan, dengan gaji sebanyak RM3,000.

Habibah membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Februari depan. 
Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.
PTG, isu bauksit, SPRM, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain