suria

Proton Dijangka Naikkan Harga Kereta Selepas Tahun Baru Cina

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd mungkin perlu menaikkan harga keretanya selepas Tahun Baharu Cina pada Februari ini memandangkan kos mengimport komponen meningkat disebabkan  penyusutan ringgit.

"Ringgit kini lebih rendah berbanding setahun lalu, yang mempengaruhi harga komponen import kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Harith Abdullah selepas perlantikan pengedar baru di sini Khamis.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.3930/4000 berbanding dolar AS, jauh berbeza daripada paras 3.57 semasa didagangkan pada masa yang sama tahun lepas.

Harith berkata Proton berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga sehingga Tahun Baharu Cina bagi membolehkan pelanggannya menikmati kereta baharu pada harga semasa.

Menurut Proton, 20 hingga 30 peratus daripada komponen dalam kenderaannya  diimport.

Honda Malaysia menaikkan harga kereta keluarannya sebanyak 2 hingga 3 peratus tahun ini, manakala UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa syarikat juga akan menaikkan harga produknya sebanyak 4 hingga 16 peratus mulai bulan ini.

Mitsubishi Motors Malaysia juga telah membayangkan akan mengambil langkah yang sama.

Artikel Lain