suria

Solat Hajat Pohon Kesejahteraan Putera Bongsu Tuanku Muhriz

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (depan) berkenan berangkat pada majlis Negeri Sembilan Berselawat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi minggu lalu. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri).

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengarahkan semua masjid di negeri ini mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin ibni Tuanku Muhriz, putera bongsu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pengarah JHEAINS, Datuk Selamat Paigo berkata, solat hajat itu akan diadakan serentak di setiap masjid di negeri ini selepas solat Maghrib, Selasa.

"Saya menyeru rakyat negeri ini untuk bersama-sama mengadakan solat hajat di masjid di kawasan masing-masing bagi mendoakan agar disembuhkan kegeringan Tunku Aliff Hussein Saifuddin Al-Amin dan mohon dikurniakan kesihatan yang berkekalan oleh-Nya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tunku Aliff Hussein Saifuddin Al-Amin diputerakan pada 3 September 1984 dan merupakan putera ketiga dan bongsu pasangan Tuanku Muhriz serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Sementara itu, Unit Pengurusan Majlis Rasmi dan Protokol Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan pembatalan Istiadat Kawalan Kehormatan bersempena ulang tahun ke-68 Hari Keputeraan Tuanku Muhriz, yang sepatutnya berlangsung pada Khamis ini jam 7.15 pagi di Padang Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Majlis Santapan Negeri bersempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz, yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini jam 7.45 malam di Klana Resort, Seremban, turut ditangguhkan sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat bersempena ulang tahun ke-68 Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang akan diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Khamis ini pada jam 10 pagi, berjalan mengikut jadual.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Lain