suria

Sebutan Kes Khairuddin, Chang 24 Februari

Khairuddin (kanan) dan Chang.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Februari untuk sebutan semula kes bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu, Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh yang berdepan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. 

Hakim, Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memaklumkan pendakwaan masih menunggu tarikh rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Khairuddin dan Chang tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili Khairuddin, tiada bantahan berhubung tarikh sebutan itu.

Pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah Sosma dan membebaskan Khairuddin dan Chang masing-masing dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.

Khairuddin, 54, dan Chang, 66, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas, mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun. 

Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong; dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura. - Bernama

Artikel Lain