suria

Penolong Pengarah JKM Mengaku Tidak Bersalah Buat Tuntutan Palsu

JOHOR BARU: Seorang Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM5,000 bagi membekal pakaian seragam, tiga tahun lepas. 

Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali, 54, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai JKM Daerah Mersing, didakwa mengemukakan satu dokumen iaitu pesanan kerajaan mengandungi butir-butir matan palsu dengan niat hendak memperdaya pejabat JKM berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed Mohd Abdul Ghani mengemukakan pesanan kerajaan bernombor L131310000342 bertarikh 24 Sept 2013 bernilai RM5,000 bagi membekal pakaian seragam untuk Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan JKM Mersing, yang mana pembekalan tersebut sebenarnya tidak dibuat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di pejabat JKM Daerah Mersing, antara 8 pagi dan 11 pagi, 8 Oktober 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norfazlin Hamdan yang mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Peguam M. Vinodharan Mohan, bagaimanapun, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung lapan anak termasuk dua anak Orang Kurang Upaya dan memberi kerjasama berhubung siasatan kes terbabit.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 25 Februari depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan. - Bernama

Artikel Lain