suria

Pelanggan Polis Pengiring Palsu Diminta Bantu Siasatan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis meminta pihak yang pernah  menggunakan khidmat dua individu menyamar sebagai polis trafik untuk mengiringi kenderaan dengan mengenakan bayaran tertentu, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sekurang-kurangnya empat kali dengan bayaran RM100 bagi setiap perjalanan.

"Kedua-dua suspek yang ditahan Selasa lepas, dibebaskan dengan ikat jamin polis pada Jumaat lepas setelah tamat tempoh reman. Kes akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Tajudin diminta mengulas mengenai kes dua lelaki yang ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis trafik bagi menjalankan kegiatan mengiringi kenderaan dengan mengenakan bayaran, pada Selasa lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis percaya terdapat beberapa lagi individu terlibat dengan kegiatan itu, selain menyiasat daripada mana suspek memperoleh pelanggan.

Pada Selasa lepas, dua lelaki berusia 38 tahun ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis trafik bagi menjalankan kegiatan mengiringi kenderaan dengan mengenakan bayaran, di Jalan Bukit Bintang di sini.

Kedua-dua suspek itu menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBX 750, yang menyerupai motosikal milik anggota polis trafik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain