suria

Durian Hijau Beserah Mungkin Lenyap Akibat Bauksit

MUSNAH... Kapten Dailyus Yusof menunjukkan kepada pihak media sebuah kawasan yang dahulunya adalah dusun durian kini telah habis diratakan untuk kegiatan perlombongan bauksit. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Durian Hijau Beserah, yang terkenal dengan isi kuning kemerahan yang enak dan lembut, mungkin lenyap suatu hari nanti kerana kerakusan pengusaha bijih bauksit menggondol lebih 20 hektar kebun durian di Kampung Beserah di sini.

Beberapa penduduk mendakwa pengusaha bijih bauksit bertindak meratakan kawasan kebun durian sejak setahun lepas.

Penduduk Taman Beserah Satellite Kapten (Bersara) Dailus Yusof, 48, berkata dalam tempoh setahun, dusun durian di belakang kawasan perumahannya hampir habis digondol.

"Lebih setahun lalu, di hadapan rumah saya ini (kebun durian Kampung Beserah) begitu redup dan dipenuhi pemandangan hijau pokok durian. Apabila tiba musim durian, kita dapat lihat buahnya yang merimbun," katanya kepada Bernama.

Namun, kini bukan sahaja pemandangan nyaman itu hilang malah, penduduk terpaksa bergelumang dengan debu bauksit apabila cuaca panas selain berdepan lecak tanah merah ketika hujan.

Dailus yang sudah lebih dua tahun menetap di situ, berkata sekiranya peneroka di Felda Kampung Bukit Goh berhadapan dengan kemusnahan pokok sawit, perkara sama turut dialami pekebun di Beserah yang kehilangan kebun durian mereka.

"Kenapa harus kita beri kekayaaan kepada orang luar sedangkan kawasan kita akan 'miskin' alam sekitar," kata Dailus.

Sementara itu, penduduk asal Beserah Muhammad Ismail berkata beliau bimbang jika keenakan Durian Hijau tidak dapat dinikmati generasi akan datang suatu hari nanti.

"Durian Hijau D145 sungguh enak, isinya yang kuning kemerahan begitu tebal tetapi tidak melekit. Malah, rasanya yang lemak manis lebih enak dari durian Musang King. Mana nak dapat lagi Durian Hijau selepas ini kalau habis semua kebun digondol," katanya.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, katanya, musim buah pada 2015 yang bermula pada Julai menyaksikan kekurangan durian termasuk Durian Hijau yang dijual di sepanjang Jalan Beserah sehingga memaksa segelintir penjual mendapatkan bekalan durian dari kawasan luar seperti Johor.

"Pada musim buah tahun lepas, memang Durian Hijau dah kurang sebab kebun-kebun habis ditarah. Saya tahu memang rezeki mereka (pekebun) tiba-tiba mendapat wang yang lumayan, namun kita harus fikir Durian Hijau yang menjadi kebanggaan orang Beserah selama ini akan pupus," katanya.

Seorang pekebun di dusun Kampung Beserah yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ajis, mengakui beliau mendapat keuntungan lumayan hasil pajakan dusun duriannya seluas hampir satu hektar.

Pak Ajis, 62, berkata beliau terpaksa memajak tanahnya itu setelah diceroboh oleh seorang pengusaha lombong bijih bauksit yang tidak bertangungjawab pada akhir 2014.

"Pada mulanya, saya tiada niat memajak tanah untuk perlombongan bauksit namun, setelah habis pokok-pokok durian ditebang tanpa pengetahuan, saya terpaksa memajakkannya (tanah) juga.

"Saya buat tuntutan pencerobohan sebanyak RM5,000 kepada pengusaha bijih bauksit yang menceroboh itu. Selepas itu, memandangkan habis pokok-pokok ditebang saya terpaksa memajak tanah itu kepada pengusaha lombong yang lain yang menawarkan harga lebih tinggi.

"Daripada terbiar dan tidak dapat berbuat apa-apa lebih baik saya pajakkan," katanya sambil memberitahu terdapat lebih 30 pekebun lain yang turut memajak tanah mereka.

Dalam pada itu, Pak Ajis berkata beliau masih memiliki kebun lain seluas 1.2 hektar di kawasan sama namun nekad tidak akan memajakkan kebun itu.

Pak Ajis, yang telah 26 tahun mengusahakan kebun durian, mengakui hasil buah durian dan buah-buahan lain seperti dokong tidak lagi 'masak elok' seperti dahulu.

"Hal ini kerana penggondolan kebun menyebabkan cuaca panas yang merencatkan pertumbuhan buah-buahan.

"Durian ini apabila mula berbunga, ia memerlukan cuaca yang redup dan sejuk supaya buahnya akan masak elok. Kini (selepas tanah digondol), buah dari kebun yang tinggal ini sedikit kecut dan rasanya tidak lagi seperti dahulu," katanya.

Menurutnya pokok durian memerlukan masa lebih 10 tahun untuk ditanam semula.

Durian Hijau Beserah, Bauksit

Artikel Berikut

Artikel Lain