suria

Bauksit: Polis Pahang Wujud Sembilan Pusat Pemeriksaan 24 Jam

KUANTAN: Polis Pahang mewujudkan sembilan pusat pemeriksaan yang beroperasi 24 jam sebagai tindakan penguatkuasaan terhadap isu perlombongan bauksit di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, pusat pemeriksaan itu yang bermula Sabtu lalu (9 Januari) bertindak melakukan kawalan keselamatan dan pemeriksaan ke atas lori bauksit.  

"Jangka masa operasi dibuat dalam dua peringkat, iaitu 9 hingga 14 Januari yang bermatlamat memastikan hanya lori muatan bauksit yang mengikut peraturan dan syarat permit dibenarkan ke pelabuhan. 

"Fasa kedua ialah selama tiga bulan bermula 15 Januari hingga 14 April bagi menentukan semua kegiatan perlombongan dan pengangkutan bauksit dihentikan sepenuhnya," katanya. 

Sharifuddin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Pelepasan Kereta Peronda Polis (MPV) dan motosikal Unit Rondaan Bermotor (URB) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini, Isnin.

Beliau memaklumkan sembilan lokasi itu ialah Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Dato' Rashid, Shahpadu, berhadapan Pejabat Sirim di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.

Pemeriksaan itu turut melibatkan penguatkuasaan daripada agensi lain termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). 

"Dalam tempoh 48 jam beroperasi, sebanyak 67 buah lori telah diperiksa dan tujuh saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen dan cukai jalan," katanya.

Sharifuddin juga memaklumkan setakat ini tiada anggotanya yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu bauksit atau menerima laporan berhubung kekerasan yang melibatkan pihak terlibat perlombongan bahan mineral itu.

"Saya baca (kekerasan) dalam media, tapi setakat ini tiada laporan. Jika tiada isu ini, jangan cakap. Jika betul ada berlaku, buat laporan dan kita akan siasat," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah mempercayai laporan yang dibaca di laman sosial, sebaliknya merujuk kepada pihak berkenaan untuk pengesahan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain