suria

Jakim Kemuka Cadangan Penubuhan Majlis Halal Malaysia Kepada Kabinet

Jamil Khir Baharom.

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengemukakan usul kepada kabinet mengenai cadangan penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi menyatukan hal-hal berkaitan industri halal negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, industri halal mempunyai skop yang luas dan sewajarnya kementerian yang mempunyai kaitan dengan hal tersebut disatukan di bawah satu majlis.

Selain Jakim, antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, katanya.

"Kita mahu adanya Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang mana kesemua kementerian duduk bersama berbincang untuk membuat keputusan berkaitan isu halal dan seterusnya semua pihak dapat melaksana tindakan tersebut," katanya.

Jamil Khir berkata, majlis tersebut akan membantu menyeragamkan pertikaian bidang kuasa dan undang-undang antara kementerian dalam mengendalikan proses pengeluaran sijil halal.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pendaftaran program Transformasi dan Globalisasi Usahawan Bumiputera Dalam Industri Halal anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini, Isnin.

Jamil Khir memuji usaha Perdasama membantu pengusaha Bumiputera mendapatkan sijil Halal menerusi Program Transformasi dan Globalisasi Usahawan Bumiputera Dalam Industri Halal.

"Program tersebut akan bermula Februari nanti dan akan membimbing pengusaha Bumiputera mendapatkan sijil halal menerusi kursus yang disediakan selama enam bulan," katanya.

Buat permulaan, program tersebut akan dijalankan di tujuh buah lokasi termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, katanya.

Buat masa ini, katanya, 72 peratus pemilikan sijil Halal dimonopoli kalangan pengusaha bukan Islam dan syarikat antarabangsa.

"Bagi pengusaha bukan Islam, mereka tidak lagi melihat sijil Halal hanya untuk memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka tetapi membantu memperluas capaian pengguna berbilang agama," katanya.

"Oleh itu sewajarnya pengusaha Islam khususnya Bumiputera berusaha untuk memiliki sijil Halal kerana ia membantu menyakin pengguna termasuk bukan Islam seperti dari segi amalan penyediaan dan penyimpanan yang baik dari sudut kesihatan.

Jamil Khir dalam pada itu berkata, Makmal Analisis Institut Halal Malaysia di Bandar Enstek, Nilai dijangka mula beroperasi pada April ini.

"Makmal ini akan membantu empat buah makmal panel lain dalam mengangkat imej negara sebagai peneraju utama industri halal global," katanya. - Bernama

Jakim, halal

Artikel Berikut

Artikel Lain