suria

Agihkan Sebahagian Kutipan GST Kepada Rakyat - Wan Azizah

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan menyalurkan sebahagian daripada hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 3.85 juta isi rumah di seluruh negara.

Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar beliau pada Kongres PKR di sini Sabtu berkata, kerajaan memperoleh RM38 bilion daripada GST setiap tahun.

"Jadi kita meminta kerajaan untuk menyalurkan RM17 bilion daripada situ sebagai pindahan tunai tambahan secara langsung kepada 3.85 juta isi rumah melalui Skim Bantuan Sosial Nasional (SBASN).

"Skim ini akan berjumlah RM17 bilion berbanding RM5.6 bilion yang dibelanjakan untuk BR1M," katanya.

Beliau menambah, semua isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan layak mendapat skim ini.

"Sejak wang yang diperolehkan itu adalah daripada GST sendiri, jadi ia tidak menjejaskan peruntukan untuk menguruskan perbelanjaan dalam Bajet 2016.

"Kerajaan hanya perlu membuat pelarasan sebanyak RM11.6 bilion," katanya sambil menambah bahawa ia hanya 10.53 peratus daripada jumlah peruntukan RM163.4 bilion untuk perbelanjaan pengurusan.

Wan Azizah turut berkata, PKR akan melancarkan kempen "Pulangkan GST Kepada Rakyat". 

Dr Wan Azizah Wan Ismail, GST

Artikel Sebelum

Artikel Lain