suria

Sukarelawan Banjir Siap Sedia

PETALING JAYA: Musim banjir yang mula melanda di beberapa negeri mendorong pertubuhan kesukarelawaan untuk misi bantuan kemanusiaan bersiap sedia bagi melaksanakan tugas murni itu.

Misalnya, Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) yang bertanggungjawab mengendalikan bantuan kepada mangsa banjir  di Kuala Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pantas, Hamsah Djabir  berkata, pihaknya sudah mulakan operasi di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor sejak 18 November lalu.

"Pada 18 hingga 20 November lepas, kami mula beri bantuan dengan menyediakan bekalan makanan kepada 900 mangsa banjir di disini.

"Setakat ini, kami masih menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan ini," katanya.

Mangsa bencana banjir diberi bantuan makanan harian di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah kebangsaan Parit Mahang Kuala Selangor.

Jelas Hamsah, pihaknya menerima sumbangan seperti keperluan dapur gas, selimut dan juga bantal daripada individu yang prihatin.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada sumbangan tambahan daripada mana-mana pihak.

"Sehubungan itu, kami mengharapkan akan menerima lebih banyak lagi bantuan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir ini," katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan dalam bentuk kewangan, keperluan makanan dan barangan harian adalah dialu-alukan.

Kata Hamsah lagi, sebarang maklumat berkaitan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir dapat diperoleh dengan melayari laman facebook Pantas. 



Artikel Lain