suria

Pemilik Tanah Berhak Bangunkan Tanah Mereka - Mukhriz

Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR: Pemilik tanah di Bukit Perangin, Wang Perah berhak membangunkan tanah mereka selagi ia mengikut segala peraturan yang digariskan kerajaan negeri, kata Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Jumaat.

Menurut Menteri Besar, tanah seluas kira-kira 2,000 hektar di kawasan terbabit telah diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) untuk dibangunkan menjadi ladang getah.

"Di mana ada tapak tanah yang telah diberi hak milik, jadi pemilik tanah berhak untuk membuat apa yang mereka rancangkan. Jikalau mereka hendak membuat ladang, mereka kena usahakan untuk tujuan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program SEHATI 2015 anjuran Unit Keusahawanan Sosial MaGIC (Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia) di Dewan Seri Mentaloon pada Jumaat.

Pemilik tanah di kawasan hutan Bukit Perangin itu kata Mukhriz, sedang melaksanakan kerja-kerja pembalakan di tapak tanah itu dalam usaha untuk membersihkan tapak berkenaan menjadi ladang getah.

Mukhriz ditanya tentang ketidakpuasan hati beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini tentang aktiviti pembalakan di hutan terbabit sehingga menjejaskan perkampungan berhampiran.Penduduk kampung mendakwa kampung-kampung mereka kerap dilanda banjir akibat aktiviti pembalakan itu, selain menjejaskan sumber air bersih mereka.

Menurut Mukhriz, dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini beliau telah meminta agar kerja-kerja pembalakan di kawasan hutan terbabit mestilah dijalankan mengikut peraturan yang digariskan kerajaan negeri.

"Jangan ada pencemaran atau kerosakan yang akan menjejaskan kampung-kampung di kawasan tersebut. Ini sentiasa kita pantau," katanya.

SSI menurutnya telah menganugerahkan kontrak untuk membangunkan ladang getah di atas tapak tanah terbabit kepada Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd. - BERNAMA

Bukit Perangin, Mukhriz Mahathir

Artikel Lain