suria

Kastam Patahkan Usaha Seludup Rokok Guna Bas Ekspres

KUALA TERENGGANU: Dua pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor menuju Kelantan ditahan kerana cuba menyeludup rokok bernilai kira-kira RM502,779.20.

Mereka ditahan di Plaza Tol Gemuruh di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2)  kira-kira pukul 3.20 pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu, Datuk Hamzah Sundang berkata rokok itu sebanyak 3,850 karton.

Beliau berkata bas itu yang membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke Kota Baharu.

"Rokok itu jenama Saat disorok di tempat kargo di bawah bas serta di tempat duduk bahagian belakang bas," katanya.

Hamzah berkata modus operandi menyeludup menggunakan bas ekspres merupakan taktik baharu yang berjaya dibongkar.

Rokok yang diseludup dari negara jiran itu dipercayai untuk pasaran di Kelantan manakala Terengganu dijadikan sebagai transit, katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan digerakkan oleh sindiket kerana ia membabitkan kuantiti rokok yang banyak.

Kedua-dua pemandu berkenaan yang berusia 44 tahun dan 52 tahun kini direman selama 10 hari sehingga Jumaat depan. - BERNAMA

seludup rokok, bas ekspres

Artikel Lain